salam..

Bacalah..

Bacalah dengan akal..bukan mata semata-mata..jangan terburu menghabiskan lembaran..tetapi tiada yang terselit dihati..biarlah lambat asalkan ada intipati yang difahami..moga apa yang tertulis dilembaran maya ini mampu membawa hidup dekat pada sang pencipta..sampaikan walaupun hanya satu ayat..moga ia tersebar dengan kebaikan..insyaALLAH..

Monday, July 25, 2011

Kasih ROTAN Papa..

Maaf..cerita agak panjang..maklumlah..orang tua baru belajo nak menulis..bebelnye aje yang telebih..
enjoy jela ye..


“Baru balik Im?” Tersentak Imran seketika. Bulu romanya terasa tercacak menyelubungi sekujur tubuh tegapnyan apabila mendengar suara azimat papa. Dia sedaya upaya menutup pintu utama rumahnya seperlahan mungkin agar tiada bunyi dentuman pintu yang terpacul. Tidak disangka papa menanti kepulangan dirinya lewat pagi itu. Sungguh tidak dia perasaan kelibat papa yang sedang duduk di ruang tamu gelap rumah banglo dua tingkat keluarganya itu.

“Im jumpa kawan tadi. Tak sangka pula sampai lewat begini.” Dia menelan air liur. Dia terasa kecut. Di kedinginan pagi itu dia terasa tubuhnya panas sekali. Kuyup baju jersi Chelsea nya dek peluh yang bercucuran. Silap besar dia keluar menonton perlawanan bola diantara pasukan Chelsea dan Manchester United malam ini.

“Awal Im balik. Dah dekat subuh baru tahu nak jejak kaki ke rumah.” Haji Musa bersuara. Tetapi masih lembut dipendengaran. Menyindir dalam kelembutan. Tiada nada keras yang dikeluarkan. Bersahaja.
Imran bingung dengan sikap papa pada pagi ini. Selalunya pasti dirinya akan ditengking andai kata ada kesilapan yang telah dilakukan seperti keluar lewat malam sbegini. Imran mula rimas dan meluat dengan situasi sebegini. Meluat dengan kelembutan papa. Ini peluang terbaik untuk dia melepaskan segalanya pada papa. Rasa tidak puas hatinya pada sikap mengongkong papa pada dirinya. Jiwa remajanya memberontak. Bukan sekali ini. Tetapi sudah lama menderita dek konkongan yang diberikan papa. Semua tidak boleh. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Boleh dikatakan hampir semua perkara yang ingin dia lakukan tidak pernah mendapat restu papa. Selalunya kalau teringin di hati untuk melepak bersama kawan di kedai mamak atau ‘clubing’ sehingga awal pagi, dia keluar senyap-senyap sahaja.

“Baru pukul empat la papa. Alah papa ni. Im dah besarlah papa. Im ada life Im sendiri. Im ada kawan-kawan. Rimaslah. Dah besar pun masih kena control. Rimas!”

Haji musa terbatuk kecil sebelum menarik nafas panjang. “Betul, Im dah besar. Sepatutnya Im dah boleh fikir yang mana baik yang mana buruk. Papa belikan Im motor tu sebab nak mudahkan Im ulang-alik ke kuliah. Bukannya buat merempit berjumpa dengan kawan-kawan.”

“Bisnglah papa. Im malaslah nak dengar papa membebel pagi-pagi buta ni. Im penat. Im mengantuk dan Im nak masuk tidur!” Keras nada suaranya sambil memalingkan mukanya dari melihat wajah tua papa. Masuk sahaja didalam bilik dia terus menghempas pintu kamarnya sekuat hati. Dooom! Bergema bunyi dentuman diseluruh pelusuk rumah banglo itu.

Haji Musa menarik nafas panjang melihat kerenah anak sulongnya itu. Ingin sahaja ditampar anaknya tadi. Tapi dia tahu, andai dia bertindak sedemikian Imran pasti akan menjadi lebih liar. Dia masih mampu menahan marah. Masih bersabar dengan kebiadapan Imran.  Imran sudah jauh terpesong. Itupun setelah diberitahu rakan sepejabatnya yang telah terserempak dengan Imran sedang bersedudukan dengan seorang wanita sebaya umurnya. Walaupun ditempat terbuka tetapi itu tetap salah di sisi agama. Apatah lagi tiada muhrim yang menemani bersama. Mengikut kata rakannya, gadis itu sungguh menjolok mata cara pemakaiannya. Dia sungguh kesal dengan perubahan Imran. Kalau dulunya sentiasa patuh pada suruhan agama tapi tidak kali ini. Sejak menjejakkan kaki ke universiti, Imran sudah berubah. Berubah segalanya. Haji Musa hanya berdoa agar Allah mengembalikan anak kesayangannya. Imran yang dahulu.

Im baring di atas queen size dalam kamar peraduannya. Dia tidak boleh melelapkan matanya. Sudah hampir 10 minit dia cuba menutup kelopak matanya tetapi gagal akhirnya dia termenung memandang syiling berukiran motif bunga lili biliknya. Memandang kosong tiada erti. Dalam lamunanya tiba-tiba dia tersentak dek terkejut apabila telefon bimbitnya berbunyi lagu rancak. Tanda sudah pukul 5 pagi. Tanpa dia sedar tangannya menepis telefon bimbit Nokia C3 nya hingga tercampak jatuh ke bawah katil.

Imran mencari-cari telefon bimbitnya untuk memberhentikan alarm yang telah disetkan sebelum ini. Dia sengaja set alarm pada jam 5 setiap hari kerana dia gemar menelaah pelajaran waktu itu. Tapi tidak hari ini. Hatinya panas dengan papa. Moodnya tiada. Dia menyelak cadar tilamnya untuk mencari telefon bimbitnya. Dia jumpa dan terus menekan butang off pada telefon bimbitnya. Dia terus memandang lantai lantas matanya tertancap pada sebuah kotak yang terdapat di bawah katilnya. Dia mengeluarkannya. Di dalam kotak itulah dia menyimpan segala kenangan manisnya di zaman persekolahan dulu. Disitulah juga dia menyimpan segala sijil-sijil zaman sekolahnya baik dari zaman UPSR sehinggalah STAM. Semuanya disitu. Dia menyelak satu-persatu helaian yang ada. Tiba-tiba tangannya terpegang sbatang rod rotan yang sudah patah. Entah mengapa tiba-tiba hatinya terasa sayu bila memandang pecahan rotan yang sudah hampir reput itu. Dia duduk bersandar dibahu katil cuba merungkai kembali memori disebalik rotan yang patah.

8 tahun dahulu…

“Papa! Sakit! Im janji Im tak buat lagi!” Jeritan Im dalam sedu tangisnya. “Dah pandai mencuri duit pulak dah! Siapa ajar Im mencuri?” Haji Musa melibas sekali lagi belakang anaknya dengan buluh rotan yang panjang semester itu. Kerana amuknya dia melibas sekali lagi sehingga terbelah dua rotan itu. Nafsu amarahnya memuncak. Puas isterinya cuba menahan gerak tangannya tapi gagal. Bahkan isterinya sendiri yang terpelanting. Esakan Imran dia biarkan begitu sahaja tanpa dipujuk. Dia meninggalkan dua beranak itu terduduk menangis dek amarahnya.

Hajah Khadijah lekas-lekas mendakap anak sulongnya yang baru mencecah usia sebelas tahun itu. Sedaya upaya dia memujuk hati Imran. Dia turut sedih melihat kerakusan suaminya sebentar tadi. Merotan Imran sehingga terbelah tiga rotan itu. Hinggakan Imran lembik tidak bermaya. Berbekas. Penuh calar dan lebam di belakang tubuh anaknya. Sungguh kejam. Tidak berperikemanusiaan. Hatinya sedih melihat anaknya diperlakukan sebegitu. Sudahlah ditinggalkan bagaikan kucing kurap sahaja. Rawan hatinya dengan sikap suaminya.

Tiga hari suami dan anaknya tidak bertegur sapa. Tiga hari jugalah Imran demam panas tidak bermaya. Syukur anak tunggal lelakinya itu sembuh. Hajah Khadijah yang menjaganya. Makan minum anak itu dijaga serapinya tiga hari itu. Bila dilihat anaknya sudah semakin sembuh barulah dia berasa lega. Lega kerana anaknya selamat.

Seminggu selepas kejadian itu..

“Im, mari sini sekejap. Mama ada benda nak cakap dengan Im.” Hajah Khadijah memanggil anaknya yang sedang khayal bermain kereta kawalan jauhnya.

“Ya mama.” Sahut Imran lembut. Lantas berlari menuju ke arah Hajah Khadijah yang sedang duduk di sofa ruang tamu. Imran mengambil tempat disebelah mama. Hajah Khadijah mengusap ubun-ubun anaknya. “Imran, Imran marah pada papa lagi ke? Tak baik tau marah-marah papa macam tu.” Imran hanya memuncungkan mulutnya tanda marahnya pada papa. “Kenapa Im curi duit papa?”

 “Mana ada Im curi. Im cuma ambil je.” Hajah Khadijah tergelak kecil mendengar jawapan anaknya. “Im kalau kita ambil barang orang tanpa izin tu dikira mencuri tau. Im tahu tak apa hukuman untuk orang yang mencuri?” Imran hanya menggelang sebagai jawapan bukan lisannya. “Potong tangan. Im nak papa potong tangan Im?” Terbeliak mata Imran mendengar kata-kata mama. “Mama, papa marah Im lagi ke?” Tanya Imran pada mama. “Im pergilah minta maaf pada papa ya.” Imran hanya mengangguk. “Lagi satu, nah ambil rotan patah ni. Im simpan tau. Setiap kali Im nak buat sesuatu Im tengok dulu rotan ni. Im ingat papa. Kalau Im rasa papa takkan rotan Im. Im buatlah tapi kalau Im tengok rotan patah ni, lepas tu Im rasa papa akan rotan Im. Imjangan buat benda tu. Boleh?” “Boleh mama.” Lantas Imran memeluk erat mama nya.
Semenjak hari itu, tindakannya sentiasa berhati-hati. Dia khuatir akan mengundang amarah papa. Apatah lagi selepas rotan berdiameter 2 cm itu pecah, papanya sudah mengganti dengan rotan berdiameter lebih besar. Imran jadi semakin kecut. Tetapi hubungannya dengan papa semakin baik saban hari. Dia sentiasa mengikuti papa ke mana sahaja. Papa ke surau dia juga ke surau. Pendek kata apa yang papa buat dia pasti akan mengikutinya kerana pada hematnya lebih baik dia ikut papa kerana tindakan papa pasti betul.

Kerana rotan itu, Imran menjadi anak yang lebih baik. Imran menjadi pelajar yang rajin berusaha. Imran juga semakin dekat dengan Allah. Usianya 12 tahun tidak pernah dia tertinggal walau satu waktu solat kerana dia sentiasa solat berjamaah bersama papa dan mama. Setiap hari dia akan membaca al-Quran dan papa menyemak bacaannya. Hasilnya dia menjadi pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Amalannya diteruskan dengan penuh istiqamah sehinggalah dia tamat pengajiaan tingkatan 6. Semasa di tingkatan 6 dahulu pelbagai jawatan yang telah disandangnya. Imran juga telah dinobatkan sebagai pelajar contoh disekolahnya kerana akhlak terpujinya dan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan STAM pada tahun itu. Semuanya kerana rotan itu.

Tetapi sayang. Selepas Imran menjejakkan kaki ke universiti. Hidupnya mula berubah. Haluannya mula tersasar sedikit demi sedikit. Apatah lagi dia bukan lagi duduk dibangku pengajian agama. DIa mahu tukar haluan dari bidang agama kepada seni bina kerana dia punya cita-cita mahu menjadi seorang arkitek berjaya. Tetapi bukan bidang sahaja berubah bahkan dirinya turut berubah dek pengaruh rakan-rakan sebayanya. Dia jelas tersalah pilih rakan. Tanpa rotan papa yang sering dikendong ke hulu ke hilir hatinya mula berubah. Pemikirannya mula tersalah arah. Apatah lagi papa telah menghadiahkan sebuah motorsikal berkuasa tinggi kepadanya setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STAM. Hidupnya semakin liar dengan kota raya Kuala Lumpur. Malamnya tidak lagi dihabiskan di surau tetapi melepak di kedai mamak. Dia tidak khuatir apabila papa tidak lagi memantaunya. Dia juga kini punya seorang pacaran yang dikenalkan oleh rakan sekuliahnya. Sebelum ini pergaulannya hanya terbatas dengan rakan-rakan lelaki. Maklumlah belajar disekolah agama dari tingkatan 1 sampai tingkatan 6. Tidak pernah bersapa dengan mana-mana wanita tetapi di university pergaulannya bebas sekali antara lelaki mahupun wanita. Kejutan budaya yang menghancurkan pegangannya.

Imran mengeluh panjang apabila mengenangkan sejarah hidupnya selama 10 tahun ini. Dia beristighfar memohon ampun dari Allah. Kalau dulu hidupnya sentiasa tenang walaupun pelbagai ujian melanda. Tetapi tidak hari ini. Walaupun mewah dengan kekayaan papa tetapi hati remajanya tidak pernah tenang. Sentiasa gundah gulana. Pelajarannya juga tidak sebaik dahulu. Masanya banyak dihabiskan melepak bersama rakan-rakan. Bukan lagi menelaah bersama teman-teman seperjuangan di perpustakaan. Imran menangis sendiri.

‘Diiing... Diing… Diing’ Jam dinding kamar tidurnya berbunyi enam kali tanda waktu sudah jam enam pagi. Imran terus bangun dan menyalin seluar jean biru denimnya kepada kain pelikat unggu samarinda. Dia terus berwudhuk dan berlari sambil membawa rotan patah papa menuju kamar solat. Sesampai sahaja dia melihat papa dan mama serta tiga adik perempuannya sedang bersiap-siap untuk solat subuh berjemaah.
Haji Musa terlihat kelibat anaknya lantas memaling muka dari arah kiblat pada raut wajah anak kesayangannya. Dia hairan melihat kemunculan Imran pagi itu. Sudah seminggu Imran duduk dirumah sejak cuti semester universiti tidak pernah sekali Imran berjemaah lagi. Tambah bingung apabila Imran menangis dan terus melutut dihadapannya.

“Papa, mama, Im minta maaf atas segala perbuatan Im selama ini.” Dalam tangis esak Imran cuba bersuara. Hajah Khadijah dan Haji Musa memandang sesama sendiri sambil tersenyum. ‘Terima kasih ya Allah. Kau telah kembalikan anakku.’ Haji Musa memanjat syukur ke hadrat illahi. “Papa, ambil rotan ni. Papa rotanlah Im. Im berdosa papa. Im dah ingkar dengan mama dan papa.” Imran terus menghulurkan rotan patah pada ayahnya. Haji Musa terus melutut dan memeluk erat anaknya. Tanpa disedari air matanya mula mengalir. Hajah Khadijah turut menangis begitu juga adik-adik perempuan Imran. Kalau dahulu mereka sangat rapat tetapi setelah abang mereka belajar di universiti hubungan mereka agak renggang. Tiada lagi senda gurau dari abang mereka. Pagi ini, Imran kembali. Kembali sebagai Imran yang dulu dan pagi itu berkumandang suara Imran melagukan surah al-fatihah ala-ala Syeikh Said Al-Ghamidi.

-tamat-

p/s: Hanya nukilan tidak seberapa kreatif dari pokcik..kisah hidup pokcik yang diubahsuai..perit tau kena rotan..kalau dah kena sekali mahu berbirat 4-5 hari..kalau kawan tanya masa di sekolah..kelentong jatuh basikal..adui..pengalaman..hehe..tapi masih bersyukur kerana punya papa yang garang..tak dapat dibayangkan kalau tak punya papa yang garang macam ni..rasa-rasanya tak mampu nak solat dengan betul..barangkali sudah tamat sekolah dan bekerja dimana-mana restoran fast food..hmm..hari ni..pokcik pula yang pegang rotan bila adik-adik tak solat..hehe..neways..love you papa..you are the best papa ever..  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...