salam..

Bacalah..

Bacalah dengan akal..bukan mata semata-mata..jangan terburu menghabiskan lembaran..tetapi tiada yang terselit dihati..biarlah lambat asalkan ada intipati yang difahami..moga apa yang tertulis dilembaran maya ini mampu membawa hidup dekat pada sang pencipta..sampaikan walaupun hanya satu ayat..moga ia tersebar dengan kebaikan..insyaALLAH..

Monday, July 25, 2011

Kasih ROTAN Papa..

Maaf..cerita agak panjang..maklumlah..orang tua baru belajo nak menulis..bebelnye aje yang telebih..
enjoy jela ye..


“Baru balik Im?” Tersentak Imran seketika. Bulu romanya terasa tercacak menyelubungi sekujur tubuh tegapnyan apabila mendengar suara azimat papa. Dia sedaya upaya menutup pintu utama rumahnya seperlahan mungkin agar tiada bunyi dentuman pintu yang terpacul. Tidak disangka papa menanti kepulangan dirinya lewat pagi itu. Sungguh tidak dia perasaan kelibat papa yang sedang duduk di ruang tamu gelap rumah banglo dua tingkat keluarganya itu.

“Im jumpa kawan tadi. Tak sangka pula sampai lewat begini.” Dia menelan air liur. Dia terasa kecut. Di kedinginan pagi itu dia terasa tubuhnya panas sekali. Kuyup baju jersi Chelsea nya dek peluh yang bercucuran. Silap besar dia keluar menonton perlawanan bola diantara pasukan Chelsea dan Manchester United malam ini.

“Awal Im balik. Dah dekat subuh baru tahu nak jejak kaki ke rumah.” Haji Musa bersuara. Tetapi masih lembut dipendengaran. Menyindir dalam kelembutan. Tiada nada keras yang dikeluarkan. Bersahaja.
Imran bingung dengan sikap papa pada pagi ini. Selalunya pasti dirinya akan ditengking andai kata ada kesilapan yang telah dilakukan seperti keluar lewat malam sbegini. Imran mula rimas dan meluat dengan situasi sebegini. Meluat dengan kelembutan papa. Ini peluang terbaik untuk dia melepaskan segalanya pada papa. Rasa tidak puas hatinya pada sikap mengongkong papa pada dirinya. Jiwa remajanya memberontak. Bukan sekali ini. Tetapi sudah lama menderita dek konkongan yang diberikan papa. Semua tidak boleh. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Boleh dikatakan hampir semua perkara yang ingin dia lakukan tidak pernah mendapat restu papa. Selalunya kalau teringin di hati untuk melepak bersama kawan di kedai mamak atau ‘clubing’ sehingga awal pagi, dia keluar senyap-senyap sahaja.

“Baru pukul empat la papa. Alah papa ni. Im dah besarlah papa. Im ada life Im sendiri. Im ada kawan-kawan. Rimaslah. Dah besar pun masih kena control. Rimas!”

Haji musa terbatuk kecil sebelum menarik nafas panjang. “Betul, Im dah besar. Sepatutnya Im dah boleh fikir yang mana baik yang mana buruk. Papa belikan Im motor tu sebab nak mudahkan Im ulang-alik ke kuliah. Bukannya buat merempit berjumpa dengan kawan-kawan.”

“Bisnglah papa. Im malaslah nak dengar papa membebel pagi-pagi buta ni. Im penat. Im mengantuk dan Im nak masuk tidur!” Keras nada suaranya sambil memalingkan mukanya dari melihat wajah tua papa. Masuk sahaja didalam bilik dia terus menghempas pintu kamarnya sekuat hati. Dooom! Bergema bunyi dentuman diseluruh pelusuk rumah banglo itu.

Haji Musa menarik nafas panjang melihat kerenah anak sulongnya itu. Ingin sahaja ditampar anaknya tadi. Tapi dia tahu, andai dia bertindak sedemikian Imran pasti akan menjadi lebih liar. Dia masih mampu menahan marah. Masih bersabar dengan kebiadapan Imran.  Imran sudah jauh terpesong. Itupun setelah diberitahu rakan sepejabatnya yang telah terserempak dengan Imran sedang bersedudukan dengan seorang wanita sebaya umurnya. Walaupun ditempat terbuka tetapi itu tetap salah di sisi agama. Apatah lagi tiada muhrim yang menemani bersama. Mengikut kata rakannya, gadis itu sungguh menjolok mata cara pemakaiannya. Dia sungguh kesal dengan perubahan Imran. Kalau dulunya sentiasa patuh pada suruhan agama tapi tidak kali ini. Sejak menjejakkan kaki ke universiti, Imran sudah berubah. Berubah segalanya. Haji Musa hanya berdoa agar Allah mengembalikan anak kesayangannya. Imran yang dahulu.

Im baring di atas queen size dalam kamar peraduannya. Dia tidak boleh melelapkan matanya. Sudah hampir 10 minit dia cuba menutup kelopak matanya tetapi gagal akhirnya dia termenung memandang syiling berukiran motif bunga lili biliknya. Memandang kosong tiada erti. Dalam lamunanya tiba-tiba dia tersentak dek terkejut apabila telefon bimbitnya berbunyi lagu rancak. Tanda sudah pukul 5 pagi. Tanpa dia sedar tangannya menepis telefon bimbit Nokia C3 nya hingga tercampak jatuh ke bawah katil.

Imran mencari-cari telefon bimbitnya untuk memberhentikan alarm yang telah disetkan sebelum ini. Dia sengaja set alarm pada jam 5 setiap hari kerana dia gemar menelaah pelajaran waktu itu. Tapi tidak hari ini. Hatinya panas dengan papa. Moodnya tiada. Dia menyelak cadar tilamnya untuk mencari telefon bimbitnya. Dia jumpa dan terus menekan butang off pada telefon bimbitnya. Dia terus memandang lantai lantas matanya tertancap pada sebuah kotak yang terdapat di bawah katilnya. Dia mengeluarkannya. Di dalam kotak itulah dia menyimpan segala kenangan manisnya di zaman persekolahan dulu. Disitulah juga dia menyimpan segala sijil-sijil zaman sekolahnya baik dari zaman UPSR sehinggalah STAM. Semuanya disitu. Dia menyelak satu-persatu helaian yang ada. Tiba-tiba tangannya terpegang sbatang rod rotan yang sudah patah. Entah mengapa tiba-tiba hatinya terasa sayu bila memandang pecahan rotan yang sudah hampir reput itu. Dia duduk bersandar dibahu katil cuba merungkai kembali memori disebalik rotan yang patah.

8 tahun dahulu…

“Papa! Sakit! Im janji Im tak buat lagi!” Jeritan Im dalam sedu tangisnya. “Dah pandai mencuri duit pulak dah! Siapa ajar Im mencuri?” Haji Musa melibas sekali lagi belakang anaknya dengan buluh rotan yang panjang semester itu. Kerana amuknya dia melibas sekali lagi sehingga terbelah dua rotan itu. Nafsu amarahnya memuncak. Puas isterinya cuba menahan gerak tangannya tapi gagal. Bahkan isterinya sendiri yang terpelanting. Esakan Imran dia biarkan begitu sahaja tanpa dipujuk. Dia meninggalkan dua beranak itu terduduk menangis dek amarahnya.

Hajah Khadijah lekas-lekas mendakap anak sulongnya yang baru mencecah usia sebelas tahun itu. Sedaya upaya dia memujuk hati Imran. Dia turut sedih melihat kerakusan suaminya sebentar tadi. Merotan Imran sehingga terbelah tiga rotan itu. Hinggakan Imran lembik tidak bermaya. Berbekas. Penuh calar dan lebam di belakang tubuh anaknya. Sungguh kejam. Tidak berperikemanusiaan. Hatinya sedih melihat anaknya diperlakukan sebegitu. Sudahlah ditinggalkan bagaikan kucing kurap sahaja. Rawan hatinya dengan sikap suaminya.

Tiga hari suami dan anaknya tidak bertegur sapa. Tiga hari jugalah Imran demam panas tidak bermaya. Syukur anak tunggal lelakinya itu sembuh. Hajah Khadijah yang menjaganya. Makan minum anak itu dijaga serapinya tiga hari itu. Bila dilihat anaknya sudah semakin sembuh barulah dia berasa lega. Lega kerana anaknya selamat.

Seminggu selepas kejadian itu..

“Im, mari sini sekejap. Mama ada benda nak cakap dengan Im.” Hajah Khadijah memanggil anaknya yang sedang khayal bermain kereta kawalan jauhnya.

“Ya mama.” Sahut Imran lembut. Lantas berlari menuju ke arah Hajah Khadijah yang sedang duduk di sofa ruang tamu. Imran mengambil tempat disebelah mama. Hajah Khadijah mengusap ubun-ubun anaknya. “Imran, Imran marah pada papa lagi ke? Tak baik tau marah-marah papa macam tu.” Imran hanya memuncungkan mulutnya tanda marahnya pada papa. “Kenapa Im curi duit papa?”

 “Mana ada Im curi. Im cuma ambil je.” Hajah Khadijah tergelak kecil mendengar jawapan anaknya. “Im kalau kita ambil barang orang tanpa izin tu dikira mencuri tau. Im tahu tak apa hukuman untuk orang yang mencuri?” Imran hanya menggelang sebagai jawapan bukan lisannya. “Potong tangan. Im nak papa potong tangan Im?” Terbeliak mata Imran mendengar kata-kata mama. “Mama, papa marah Im lagi ke?” Tanya Imran pada mama. “Im pergilah minta maaf pada papa ya.” Imran hanya mengangguk. “Lagi satu, nah ambil rotan patah ni. Im simpan tau. Setiap kali Im nak buat sesuatu Im tengok dulu rotan ni. Im ingat papa. Kalau Im rasa papa takkan rotan Im. Im buatlah tapi kalau Im tengok rotan patah ni, lepas tu Im rasa papa akan rotan Im. Imjangan buat benda tu. Boleh?” “Boleh mama.” Lantas Imran memeluk erat mama nya.
Semenjak hari itu, tindakannya sentiasa berhati-hati. Dia khuatir akan mengundang amarah papa. Apatah lagi selepas rotan berdiameter 2 cm itu pecah, papanya sudah mengganti dengan rotan berdiameter lebih besar. Imran jadi semakin kecut. Tetapi hubungannya dengan papa semakin baik saban hari. Dia sentiasa mengikuti papa ke mana sahaja. Papa ke surau dia juga ke surau. Pendek kata apa yang papa buat dia pasti akan mengikutinya kerana pada hematnya lebih baik dia ikut papa kerana tindakan papa pasti betul.

Kerana rotan itu, Imran menjadi anak yang lebih baik. Imran menjadi pelajar yang rajin berusaha. Imran juga semakin dekat dengan Allah. Usianya 12 tahun tidak pernah dia tertinggal walau satu waktu solat kerana dia sentiasa solat berjamaah bersama papa dan mama. Setiap hari dia akan membaca al-Quran dan papa menyemak bacaannya. Hasilnya dia menjadi pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Amalannya diteruskan dengan penuh istiqamah sehinggalah dia tamat pengajiaan tingkatan 6. Semasa di tingkatan 6 dahulu pelbagai jawatan yang telah disandangnya. Imran juga telah dinobatkan sebagai pelajar contoh disekolahnya kerana akhlak terpujinya dan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan STAM pada tahun itu. Semuanya kerana rotan itu.

Tetapi sayang. Selepas Imran menjejakkan kaki ke universiti. Hidupnya mula berubah. Haluannya mula tersasar sedikit demi sedikit. Apatah lagi dia bukan lagi duduk dibangku pengajian agama. DIa mahu tukar haluan dari bidang agama kepada seni bina kerana dia punya cita-cita mahu menjadi seorang arkitek berjaya. Tetapi bukan bidang sahaja berubah bahkan dirinya turut berubah dek pengaruh rakan-rakan sebayanya. Dia jelas tersalah pilih rakan. Tanpa rotan papa yang sering dikendong ke hulu ke hilir hatinya mula berubah. Pemikirannya mula tersalah arah. Apatah lagi papa telah menghadiahkan sebuah motorsikal berkuasa tinggi kepadanya setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STAM. Hidupnya semakin liar dengan kota raya Kuala Lumpur. Malamnya tidak lagi dihabiskan di surau tetapi melepak di kedai mamak. Dia tidak khuatir apabila papa tidak lagi memantaunya. Dia juga kini punya seorang pacaran yang dikenalkan oleh rakan sekuliahnya. Sebelum ini pergaulannya hanya terbatas dengan rakan-rakan lelaki. Maklumlah belajar disekolah agama dari tingkatan 1 sampai tingkatan 6. Tidak pernah bersapa dengan mana-mana wanita tetapi di university pergaulannya bebas sekali antara lelaki mahupun wanita. Kejutan budaya yang menghancurkan pegangannya.

Imran mengeluh panjang apabila mengenangkan sejarah hidupnya selama 10 tahun ini. Dia beristighfar memohon ampun dari Allah. Kalau dulu hidupnya sentiasa tenang walaupun pelbagai ujian melanda. Tetapi tidak hari ini. Walaupun mewah dengan kekayaan papa tetapi hati remajanya tidak pernah tenang. Sentiasa gundah gulana. Pelajarannya juga tidak sebaik dahulu. Masanya banyak dihabiskan melepak bersama rakan-rakan. Bukan lagi menelaah bersama teman-teman seperjuangan di perpustakaan. Imran menangis sendiri.

‘Diiing... Diing… Diing’ Jam dinding kamar tidurnya berbunyi enam kali tanda waktu sudah jam enam pagi. Imran terus bangun dan menyalin seluar jean biru denimnya kepada kain pelikat unggu samarinda. Dia terus berwudhuk dan berlari sambil membawa rotan patah papa menuju kamar solat. Sesampai sahaja dia melihat papa dan mama serta tiga adik perempuannya sedang bersiap-siap untuk solat subuh berjemaah.
Haji Musa terlihat kelibat anaknya lantas memaling muka dari arah kiblat pada raut wajah anak kesayangannya. Dia hairan melihat kemunculan Imran pagi itu. Sudah seminggu Imran duduk dirumah sejak cuti semester universiti tidak pernah sekali Imran berjemaah lagi. Tambah bingung apabila Imran menangis dan terus melutut dihadapannya.

“Papa, mama, Im minta maaf atas segala perbuatan Im selama ini.” Dalam tangis esak Imran cuba bersuara. Hajah Khadijah dan Haji Musa memandang sesama sendiri sambil tersenyum. ‘Terima kasih ya Allah. Kau telah kembalikan anakku.’ Haji Musa memanjat syukur ke hadrat illahi. “Papa, ambil rotan ni. Papa rotanlah Im. Im berdosa papa. Im dah ingkar dengan mama dan papa.” Imran terus menghulurkan rotan patah pada ayahnya. Haji Musa terus melutut dan memeluk erat anaknya. Tanpa disedari air matanya mula mengalir. Hajah Khadijah turut menangis begitu juga adik-adik perempuan Imran. Kalau dahulu mereka sangat rapat tetapi setelah abang mereka belajar di universiti hubungan mereka agak renggang. Tiada lagi senda gurau dari abang mereka. Pagi ini, Imran kembali. Kembali sebagai Imran yang dulu dan pagi itu berkumandang suara Imran melagukan surah al-fatihah ala-ala Syeikh Said Al-Ghamidi.

-tamat-

p/s: Hanya nukilan tidak seberapa kreatif dari pokcik..kisah hidup pokcik yang diubahsuai..perit tau kena rotan..kalau dah kena sekali mahu berbirat 4-5 hari..kalau kawan tanya masa di sekolah..kelentong jatuh basikal..adui..pengalaman..hehe..tapi masih bersyukur kerana punya papa yang garang..tak dapat dibayangkan kalau tak punya papa yang garang macam ni..rasa-rasanya tak mampu nak solat dengan betul..barangkali sudah tamat sekolah dan bekerja dimana-mana restoran fast food..hmm..hari ni..pokcik pula yang pegang rotan bila adik-adik tak solat..hehe..neways..love you papa..you are the best papa ever..  

Saturday, July 16, 2011

Kata Benci Tapi......

Kau kata kau benci..
Apabila Yahudi Laknatullah ingin meruntuhkan al-Aqsa..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..




Kau kata kau benci..
Apabila Gereja di Florida ingin membakar al-Quran..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..


  
Kau kata kau benci..
Apabila pelukis di Denmark melukis gambar Nabi Muhammad s.a.w..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..




Kau kata kau benci..
Apabila negara Perancis melaksanakan pengharaman ke atas niqab..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..




Kau kata kau benci..
Apabila kau nampak artis-artis Islam menonggang arak..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..



Kau kata kau benci..
Apabila Ayah Pin dan Mirza Ghulam Ahmad mengaku Rasul..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..







Kau kata kau benci..
Apabila orang bukan Islam membaling kepala babi ke dalam masjid..
Kau kata mereka sedang mempersendakan Islam..






Tapi apakah kau sedar..??

Pakaian-pakaian kau yang tidak menutup aurat secara sepenuhnya itu..??
Yang telah kau paparkan kepada orang ramai secara megahnya itu..??




Turut dianggap sebagai mempersendakan Islam..??

Tapi apakah kau sedar..??

Apabila kau berdua-duaan bersama yang bukan mahram..??
Yang telah kau paparkan di KLCC mahupun Mid Valley secara megahnya itu..??



Turut dianggap sebagai mempersendakan Islam..??

Tapi apakah kau sedar..??


Apabila kau dengan selamba meninggalkan solat subuh..??
Yang telah kau paparkan di hadapan ahli rumah secara megahnya itu..??


Turut dianggap sebagai mempersendakan Islam..??

Jika kau benci akan Yahudi Laknatullah yang ingin meruntuhkan al-Aqsa..
Jika kau benci akan Gereja di Florida yang ingin membakar al-Quran..
Jika kau benci akan pelukis di Denmark yang melukis gambar Nabi Muhammad s.a.w..
Jika kau benci akan negara Perancis yang melaksanakan pengharaman ke atas niqab..
Jika kau benci akan artis-artis Islam yang meminum arak..
Jika kau benci akan Ayah Pin dan Mirza Ghulam Ahmad yang mengaku Rasul..
Jika kau benci akan orang bukan Islam yang membaling kepala babi ke dalam masjid..


Mengapa tidak kau membenci dirimu.. 
atas segala kemaksiatan yang telah kau lakukan..??


وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللّهِ وَلِيٌّ وَلاَ شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لاَّ يُؤْخَذْ مِنْهَا أُوْلَـئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُواْ بِمَا كَسَبُواْ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُواْ يَكْفُرُونَ
Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda-gurau , dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan Al Qur’an itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka, karena perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak (pula) pemberi syafa’at (pertolongan) selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusanpun, nescaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka, disebabkan perbuatan mereka sendiri. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu (QS, al-An'am:70).

p/s : harap sama2 kita muhasabah diri kita..

Tuesday, July 12, 2011

Nak Show Off La Tuuu..


Selalu terdetik dalam hati kita..
"Eleh..derma tu sebab nak tunjuk dia banyak duit lah tu.."
Tetapi kita sendiri terlupa..bahawa kita masih belum pernah menderma..


Apakah yang selalu kita fikirkan sekiranya kita ternampak ada
orang yang memasukkan duit ke dalam tabung ini..??




Selalu terdetik dalam hati kita..

"Eleh..pakai tudung labuh tu sebab nak tunjuk dia sekolah agama lah tu.."

Tetapi kita sendiri terlupa..bahawa aurat kita sendiri masih belum terjaga..



Apakah yang selalu kita fikirkan apabila kita ternampak
orang yang bertudung labuh sebegini..??




Selalu terdetik dalam hati kita..

"Eleh..dia pergi masjid tiap hari tu sebab nak tunjuk dia alim lah tu..??"

Tetapi kita sendiri terlupa..bahawa solat kita sendiri pun masih belum sempurna 5 waktunya..

Apakah yang akan kita fikirkan sekiranya kita ternampak mereka
berjemaah di masjid..??




Selalu terdetik dalam hati kita..

"Eleh..dia tak nak cakap dengan lelaki sebab nak bajet mahal lah tu.."


Tetapi kita sendiri terlupa..bahawa Allah murka dengan perbuatan kita yang bertepuk tampar dengan orang yang boleh berkahwin dengan kita..


Apakah yang akan kita fikirkan apabila kita ternampak mereka
tidak mengamalkan pergaulan bebas..??




Selalu terdetik dalam hati kita..

"Dia share benda-benda agama kat facebook ni sebab nak dapat banyak like lah tu.."

Tetapi kita sendiri terlupa..bahawa Rasulullah s.a.w berpesan..

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat.."


Apakah yang terdetik dalam hati kita sekiranya kita ternampak
ada orang yang share benda sebegini di facebook..??




Sampai bila kita mahu terus berburuk sangka dengan orang..??
Sampai bila pula kita mahu terus 'terlupa' ..??
"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, keaiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaranjangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlahmembelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara".. 

Hadith Riwayat al-Bukhari..

p.s: Moga Allah ampuni kita..termasuk sekali diri penulis ini yang tidak terlepas dari berburuk sangka..
Wallahua’lam..

Friday, July 8, 2011

Awak..Maafkan Saya Ya..

Awak..ingat tak hari tu..??

Hari di mana saya mula-mula mengenali awak..

Ya..saya cuma mengenali awak melalui telefon..
Apabila awak bertanya..saya menjawab.."Sebab saya nak memanjangkan silaturrahim. Tiada niat lain pun."

Ingatkah awak ketika kita berbual dan bergelak ketawa..??


Tapi..awak ingat tak apa yang saya buat dengan nombor telefon awak..??

Ya..saya selalu menghantar SMS kepada awak dan bertanya apa yang sedang awak lakukan..
Ya..saya selalu menelefon awak dan berbual dengan awak untuk mendapat sedikit keseronokan ketika saya kesunyian..
Saya tidak pernah menelefon awak atas dasar perkara yang benar-benar penting..

Maafkan saya..saya telah menipu diri awak..





Awak..ingat tak hari tu..??

Hari di mana saya meminta ID akaun Facebook awak..
Ya..saya meminta ID Facebook awak melalui SMS..
Apabila awak bertanya..saya menjawab.."Senang kalau ada apa-apa yang penting nanti."

Ingatkah awak ketika saya add awak di Facebook..??

Tapi..awak ingat tak apa yang saya buat dengan akaun Facebook awak..??
Ya..saya selalu post di wall awak dan bertanya khabar..
Ya..saya selalu post di wall awak dan berbuat kosong dengan awak..
Saya menganggap awak lebih dari kawan saya..

Maafkan saya..saya telah menipu diri awak..







Awak..ingat tak hari tu..??


Hari di mana saya meminta ID skype awak..
Ya..saya meminta ID skype awak hanya melalui chatbox di Facebook..
Apabila awak bertanya..saya menjawab.."Senang sikit la nanti kita nak bincang pasal hal-hal penting."

Ingatkah awak ketika saya membuat panggilan video di Skype?


Tapi..awak ingat tak apa yang saya buat dengan ID Skype awak..??

Ya..saya selalu chat dengan awak melalui Skype sehingga lewat malam..
Ya..saya selalu membuat panggilan video kepada awak untuk melihat wajah awak yang comel itu..
Saya hanya berbincang mengenai hal penting sebulan sekali..selebihnya hanya berbual kosong..


Maafkan saya..saya telah menipu diri awak..





Awak..saya yang bersalah..
Saya telah menipu diri awak..
Saya telah mengutamakan awak..bukannya Allah..
Dan saya telah pun menghampiri zina ketika bersama awak..

Kerana seperti firman Allah s.w.t Yang Maha Menciptakan;


"dan janganlah kamu mendekati zina,sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan sesuatu jalan yang buruk”(Surah al-isra’ : 32)

Izinkan saya berhenti daripada berhubung dengan awak..
Sekiranya sudah sampai masanya.. 
Izinkan saya untuk melamar awak untuk menjadi pasangan hidup saya yang sah di sisi agama..

Saya ingin menjadi penyarung cincin di jari manis awak.


Kerana seperti sabda Rasulullah s.a.w:
Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah).

Semoga Allah redha dengan keputusan saya ini.. 
Awak..maafkanlah saya ya..??
Andai ada jodoh..kita pasti akan bersama..
Andai awak bukan jodoh saya..saya doakan agar awak bertemu dengan lelaki yang baik-baik..moga dia dapat membimbing awak ke syurga abadi..
Awak..maafkanlah saya ya..
Dari insan yang pernah mencintai awak..

Kau..Jomla Kita Buat..

Kau, aku dah banyak kali ajak kau pergi solat berjemaah di masjid.
Setiap kali azan, aku mengajak kau pergi bersama,
Tetapi kau mempersoalkan;

Apa hukum solat berjemaah?

Setelah aku menjawab ianya adalah sunnah Rasulullah s.a.w,
kau menjawab;

Tak payah buatlah, tak wajib pun !
Kenapa mereka bersolat jemaah walaupun tidak wajib?

“Demi Dzat yang jiwaku yang ada di tangan-Nya, ingin kiranya aku memerintahkan orang-orang untuk mengumpulkan kayu bakar, kemudian aku perintahkan mereka untuk menegakkan solat yang telah dikumandangkan adzannya, lalu aku memerintahkan salah seorang untuk menjadi imam, lalu aku menuju orang-orang yang tidak mengikuti solat jemaah, kemudian aku bakar rumah-rumah mereka.”(HR. al-Bukhari)




Kau, aku dah banyak kali ajak kau berpuasa pada hari isnin ataupun khamis setiap minggu.
Setiap kali tiba harinya, aku mengajak kau berpuasa bersama,
Tetapi kau mempersoalkan;

Apa hukum puasa hari isnin atau khamis?

Setelah aku menjawab ianya adalah sunnah Rasulullah s.a.w,
kau menjawab;

Tak payah buatlah, tak wajib pun !
Kenapa masih ada orang yang berpuasa sunnah
walaupun tidak wajib?

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah Rabb al-'Alamin) pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa. "
(Hadith Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi)




Kau, aku dah banyak kali menggalakkan kau untuk bermuka lebih ceria dan lebih mudah bersenyum.
Setiap kali aku lihat wajahmu yang suram, aku mengingatkan kau untuk bersenyum,
Tetapi kau mempersoalkan;

Apa hukum bersenyum?

Setelah aku menjawab ianya adalah 
sunnah Rasulullah s.a.w,
kau menjawab;

Tak payah buatlah, tak wajib pun !
Kenapa masih ada orang yang bersenyum walaupun
tidak wajib?

“Baginda tidak pernah melihat ku melainkan aku menerima senyuman manis daripada Rasulullah saw”. (Tuhfatul Ahwazi – Tirmizi)




Tetapi, kau terlupa...

Setelah kau mati, kau akan dihisab pada hari kebangkitan,
Dan pada hari tersebut, sekiranya timbanganmu tidak cukup,
kau akan diseksa dan diazab di dalam api neraka,
Dan tiada siapa pun yang mampu menyelamatkan kau daripada api neraka tersebut,
melainkan syafaat Rasulullah s.a.w.

Seperti dalam sebuah hadis yang panjang:
Dari Anas bin Malik r.a., ia berkata : “Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Allah mengumpulkan manusia pada hari kiamat, maka mereka berkata : “Seandainya kita mohon syafa’at kepada Tuhan kita, sehingga Tuhan memberikan kelonggaran kepada kita ditempat kita” 
 
lalu mereka datang kepada Adam dan berkata : “Engkaulah yang telah diciptakan Allah dengan tanganNya, Dia meniupkan ruh Nya padamu, dan Allah telah memerintahkan Malaikat, sehingga mereka sujud kepadamu, maka mohonlah syafa’at untuk kami di sisi Tuhan kami”. 
 
Ia menyebutkan kesalahan-kesalahannya dan berkata : “Datanglah kepada Nuh, seorang Rasul pertama yang diutus oleh Allah”. 
 
Lalu mereka datang kepada Nuh, maka Nuh menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu -dan ia menyebutkan kesalahannya itu- datangilah Ibrahim yang mana Allah menjadikannya sebagai kekasih !”, 
 
lalu mereka datang kepadanya, maka ia menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu -dan ia menyebutkan kesalahan- datangilah Musa yang telah diajak bicara oleh Allah !”. 
 
Lalu mereka datang kepadanya, maka Musa menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu -ia menyebutkan kesalahannya- datangilah Isa”, 
 
lalu mereka datang kepadanya, maka ia menjawab : “Saya tidak menempati tempat itu, datangilah Muhammad saw. yang telah diampuni dosa-dosanya yang telah terdahulu dan yang terkemudian !”. 
 
Lalu mereka datang kepadaku, dan aku minta izin kepada Tuhanku. Ketika aku melihat Nya aku sujud dan Tuhan meninggalkan aku sesuai dengan apa yang dikehendakiNya, kemudian diserukan : “Angkatlah kepalamu, mintalah perantara maka kamu akan diberi dan berkatalah maka akan didengar, mohonlah syafa’at maka akan diberi syafa’at,” 
 
Kemudian aku mengangkat kepala dan memuji Tuhan dengan pujian yang telah diajarkan kepadaku, lalu aku mohon syafa’at, maka Aku membatasinya kepadaku, 
 
lalu aku mengeluarkan mereka dari Neraka dan aku memasukkan mereka ke Syurga, kemudian aku kembali dan sujud seperti itu, pada yang ketiga atau keempat kalinya, sehingga yang ada di Neraka itu hanyalah orang-orang yang telah dicegah oleh Al Qur’an.” 
(Hadis Riwayat Bukhari).

p.s: Layakkah kita untuk memohon syafa'at Rasulullah s.a.w sekiranya kita tidak mengamalkan bahkan memperlekeh sunnahnya?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...